26.6 C
Kuala Lumpur
spot_img

Harga kereta dijangka naik ekoran Ringgit lemah & kekurangan bekalan cip komputer

Date:

Share:

Harga kenderaan di Malaysia dijangka meningkat berikutan kenaikan harga bahan mentah susulan kelemahan nilai ringgit dan isu kekurangan bekalan cip komputer yang berterusan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata wujud kemungkinan besar akan berlaku kenaikan harga kereta di Malaysia berikutan peningkatan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengeluar.

Katanya, bagaimanapun, pengeluar kenderaan di Malaysia belum lagi memutuskan kenaikan harga kenderaan atau terus menyerap semua kos yang perlu ditanggung.

“Kenaikan harga bahan mentah, kos logistik, kejatuhan ringgit antara lain akan menjadi penyebab pengeluar terpaksa menaikkan harga kenderaan. Namun, ia belum diputuskan lagi.

“Jika pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan tamat akhir Jun ini tidak disambung, ia akan memburukkan keadaan sekali gus meningkatkan lagi harga kenderaan jika pengeluar memutuskan menaikkan harga produk mereka,” katanya ketika dihubungi BH

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (PROTON), Roslan Abdullah berkata, pengeluar kereta nasional itu masih cuba untuk menyerap kenaikan kos bahan mentah supaya harga kenderaan keluaran PROTON dapat dikekalkan.

Bagaimanapun, katanya, jika keadaan memaksa selain mengambil kira pembabitan vendor, PROTON berkemungkinan terpaksa berkongsi kenaikan harga berkenaan dengan pelanggan.

“PROTON belum putuskan apa-apa lagi buat masa sekarang. Jika ada (kenaikan atau sebaliknya), kami akan umumkan dalam masa terdekat. Buat masa ini kita masih lagi cuba menyerap kenaikan kos,” katanya.

Bagaimanapun, Penganalisis AmInvestment Bank, Muhammad Afif Zulkaplly dalam nota penyelidikan, berkata dua pengeluar kenderaan sudah pun membuat pelarasan semula harga beberapa model keluarannya setakat ini dengan harga meningkat sehingga tujuh peratus.

“Langkah ini dilihat boleh mencetuskan kenaikan harga oleh pengeluar kereta lain, terutamanya jika trend kos input yang tinggi berterusan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Muhammad Afif berkata, memandangkan permintaan yang kukuh ketika ini dan pesanan tertunggak yang berada pada tahap sihat selama dua hingga empat bulan, bank pelaburan itu menjangkakan kenaikan harga jika berlaku berkemungkinan memberi kesan kecil kepada jumlah jualan pada masa depan.

Baru-baru ini, MAA mendedahkan jumlah keseluruhan industri (TIV) mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada Mac kepada 73,222 unit, melonjak 63 peratus bulan ke bulan atau 13 peratus tahun ke tahun.

Lonjakan ketara itu didorong terutamanya oleh peningkatan pengeluaran oleh pengeluar disokong pesanan tertunggak yang kukuh.

Secara kumulatif, TIV tiga bulan pertama tahun ini melonjak 13 peratus kepada 159,752 unit.

“Kami mengekalkan saranan ‘OVERWEIGHT’ ke atas sektor automotif dan kekalkan unjuran TIV 2022 sebanyak 555,000 unit.

“AmInvestment Bank juga kekal positif dengan prospek sektor automotif memandangkan pendapatan syarikat berkaitan secara relatifnya terlindung daripada kesan konflik geopolitik kerana kebanyakan firma ini bergantung kepada permintaan domestik.

“Unjuran berhubung TIV tahun ini yang lebih kukuh berdasarkan normalisasi rantaian bekalan dan pemulihan beransur-ansur dalam keyakinan pengguna,” tambah Muhammad Afif. – BH

Langgan Majalah Forex Malaysia

━ more like this

PM Belanda,Mark Rutte seru warga barat terima hakikat akan jatuh miskin akibat hyperinflasi

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte pada hari Rabu berkata terdapat "had untuk apa yang kerajaan boleh lakukan" untuk membantu orang ramai di tengah-tengah keadaan...

Bekalan ayam di Singapura mula terjejas selepas keputusan larangan eksport ayam dikuatkuasakan di Malaysia

Menurut agensi berita Singapura,MEDIACORP sesetengah gerai dan premis perniagaan beraskan ayam mungkin 'tutup kedai buat sementara waktu' ekoran larangan eksport ayam oleh Malaysia.Harga ayam...

Genting Malaysia rugi RM126.53 juta suku pertama tahun ini

Kerugian bersih Genting Malaysia Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berkurangan kepada RM126.53 juta berbanding RM483.59 juta setahun lalu.Pendapatan diraih melonjak hampir...

Malaysia hentikan eksport ayam mulai 1 Jun 2022

Pemberhentian eksport 3.6 juta ayam sebulan bermula 1 Jun ini adalah antara lima pendekatan segera jangka pendek diumumkan kerajaan hari ini, dalam usaha mengatasi...

MALAYSIA TRADERS FAIR AWARD 2022

Malaysia Traders Fair 2022 dibawakan khas oleh FINEXPO dijadualkan bermula pada 10 September 2022 di InterContinental Kuala Lumpur.FINEXPO ialah syarikat pengendali acara...
spot_img

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here