26.6 C
Kuala Lumpur
spot_img

TIADA LAGI PENGELUARAN KWSP SEBELUM UMUR BERSARA

Date:

Share:

Buat masa ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak bercadang membenarkan lagi pengeluaran oleh pencarum menerusi idea i-Ceria dilontarkan Ahli Parlimen semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, apa yang utama sebagai pengurus dana persaraan adalah memenuhi mandat untuk membina semula simpanan hari tua pencarum.

Menurutnya, tempoh bagi tiga skim pengeluaran sudah pun berakhir iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

“Tiga skim itu sudah pun berakhir (kemudahan pengeluaran terakhir adalah i-Citra pada bulan lalu).

“Adalah penting bukan hanya melihat kepada permintaan itu (idea i-Ceria) tetapi juga konteks utama KWSP seperti yang saya bentangkan iaitu mengutamakan bekalan simpanan untuk pekerja yang sudah bersara.

“Kita faham apabila kita terima desakan. Tetapi kena ingat mandat diberikan kepada KWSP mengikut akta adalah menolong ahli mencapai simpanan untuk hari tua,” katanya pada sidang media selepas membentangkan prestasi kewangan KWSP 2021 selain mengumumkan dividen, di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata, data pekerja dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sudah pun memasuki fasa pemulihan ekonomi.

“Saya harap kita tak payah keluar lagi (mengeluarkan KWSP sebelum tempoh masa bersara).

“KWSP akan terus fokus dengan mandat untuk membina simpanan hari tua pencarum.

“Peranan kita adalah memudahkan kehidupan ahli sewaktu persaraan,” katanya.

Terdahulu dalam pembentangannya, beliau turut menjelaskan pengeluaran KWSP yang sudah dibuat ahli dalam tempoh pandemik Covid-19.

Katanya, ia membabitkan RM20.8 bilion pengeluaran i-Lestari bagi tempoh April 2020 hingga Mac 2021.

“i-Sinar berjumlah RM58.7 bilion bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 dan i-Citra berjumlah RM21.4 bilion untuk tempoh Julai 2021 hingga Februari 2022.

“Jumlah keseluruhan pengeluaran untuk ketiga-tiga skim dianggarkan RM110 bilion,” katanya.

Berdasarkan rekod, katanya, seramai 7.3 juta ahli memohon sekurang-kurangnya satu atau semua skim berkenaan.

Menurutnya, kesan pengeluaran awal KWSP itu adalah agak membimbangkan kerana ramai ahli berisiko hidup dalam kemiskinan sewaktu persaraan.

“Orang tua tak cukup simpanan untuk bekalan perbelanjaan menjalani kehidupan seharian yang menjadi kebimbangan kami di KWSP.

“Malaysia negara menua atau akan mempunyai jumlah warga tua yang ramai.

“Penting setiap daripada kita mempunyai sekuriti simpanan untuk digunakan selepas persaraan atau sewaktu tidak lagi bekerja bagi menjana pendapatan,” katanya.

Beliau menegaskan, selain kesihatan, keupayaan kewangan masyarakat dalam golongan berusia juga perlu dijamin.

Semalam, di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif mencadangkan kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan “i-Ceria” KWSP, iaitu kemudahan pengeluaran wang buat kali terakhir.

Mohd Salim ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, hal ini kerana terdapat keperluan mendesak bagi sebilangan rakyat Malaysia menggunakan wang persaraan mereka itu bagi tujuan meneruskan kelangsungan hidup.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah bagi tahun 2021.

Ia lebih tinggi berbanding 2020, yang mana dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 5.20 peratus dan 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah.

Jumlah pengagihan terkumpul bagi 2021 adalah RM56.72 bilion, iaitu RM50.45 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM6.27 bilion lagi untuk Simpanan Syariah.

Pada 2021, KWSP mencatatkan caruman bersih negatif (caruman setelah mengambil kira pengeluaran) untuk pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun sebanyak RM58.2 bilion, namun ia tetap teguh dan berhemat dalam strategi pelaburan jangka panjangnya, selain menyesuaikan diri terhadap cabaran dalam memastikan pulangan mampan jangka panjang.

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.06 bilion, di mana RM6.91 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Syariah.

Prestasi yang membanggakan itu adalah hasil pendekatan kepelbagaian portfolio yang berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), yang memastikan KWSP bertahan terhadap kejutan kewangan serta kekal stabil dalam situasi yang tidak dijangka.

Berdasarkan kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 45 peratus daripada pelaburan, manakala Ekuiti 44 peratus, Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing adalah enam dan lima peratus.

Pemulihan pasaran yang berterusan sepanjang 2021, terutama dalam pasaran maju, menyumbang kepada portfolio ekuiti tersenarai KWSP dan menyediakan peluang kepada dana persaraan ini untuk merealisasikan keuntungan.

Ekuiti, khususnya ekuiti tersenarai luar negara yang merekodkan pulangan pelaburan (ROI ) sebanyak 10.44 peratus, terus menjadi penyumbang pulangan utama.

Jumlah pendapatan bagi kelas aset Ekuiti adalah sebanyak RM38.93 bilion, atau 58 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar KWSP.

Portfolio ekuiti persendirian juga menunjukkan prestasi yang baik, merekodkan pulangan pelaburan sebanyak 19.01 peratus.

Untuk kesihatan jangka panjang, KWSP mengambil langkah berhemat untuk turun nilai kos sebanyak RM1.15 bilion daripada portfolio ekuiti tersenarai pada 2021, lebih rendah daripada RM7.71 bilion turun nilai kos yang dicatatkan pada 2020, selaras dengan pemulihan dalam pasaran ekuiti.

Dengan hampir separuh jumlah peruntukan aset KWSP adalah dalam instrumen Pendapatan Tetap, merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, serta Pinjaman dan Bon, KWSP dapat mengekalkan pulangan yang stabil.

Pendapatan daripada portfolio berkenaan menyumbang sebanyak RM19.50 bilion, atau 29 peratus daripada jumlah pendapatan kasar KWSP.

Pendapatan portfolio Hartanah dan Infrastruktur sebanyak RM7.69 bilion terus memainkan peranan sebagai pelindung nilai terhadap inflasi dengan pulangan pelaburan sebanyak 6.53 peratus.

Ini adalah 1.84 peratus melebihi pulangan pelaburan instrumen Pendapatan Tetap sebanyak 4.69 peratus, manakala pendapatan daripada instrumen Pasaran Wang merekodkan RM940 juta.

Aset luar negara KWSP adalah penyumbang kritikal kepada prestasi keseluruhan, di mana kepelbagaian kelas aset, pasaran dan mata wang memberikan kestabilan kepada pendapatan dan nilai tambah kepada keseluruhan pulangan KWSP.

Setakat Disember 2021, sekitar 37 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah di luar Malaysia dan merentasi pelbagai kelas aset.

Keseluruhan aset pelaburan meningkat 0.8 peratus kepada RM1.01 trilion daripada RM1.00 trilion pada 2020.

Jumlah keahlian setakat Disember 2021 meningkat sebanyak dua peratus kepada 15.2 juta, manakala majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah berjumlah 553,000.

Dengan purata dividen sebenar tiga tahun selepas pelarasan terhadap inflasi sebanyak 4.91 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 4.51 peratus untuk Simpanan Syariah, KWSP melangkaui sasaran strategiknya untuk mengisytiharkan purata dividen sebenar sekurang-kurangnya 2.00 peratus dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

 

Langgan Majalah Forex Malaysia

━ more like this

PM Belanda,Mark Rutte seru warga barat terima hakikat akan jatuh miskin akibat hyperinflasi

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte pada hari Rabu berkata terdapat "had untuk apa yang kerajaan boleh lakukan" untuk membantu orang ramai di tengah-tengah keadaan...

Bekalan ayam di Singapura mula terjejas selepas keputusan larangan eksport ayam dikuatkuasakan di Malaysia

Menurut agensi berita Singapura,MEDIACORP sesetengah gerai dan premis perniagaan beraskan ayam mungkin 'tutup kedai buat sementara waktu' ekoran larangan eksport ayam oleh Malaysia.Harga ayam...

Genting Malaysia rugi RM126.53 juta suku pertama tahun ini

Kerugian bersih Genting Malaysia Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berkurangan kepada RM126.53 juta berbanding RM483.59 juta setahun lalu.Pendapatan diraih melonjak hampir...

Malaysia hentikan eksport ayam mulai 1 Jun 2022

Pemberhentian eksport 3.6 juta ayam sebulan bermula 1 Jun ini adalah antara lima pendekatan segera jangka pendek diumumkan kerajaan hari ini, dalam usaha mengatasi...

MALAYSIA TRADERS FAIR AWARD 2022

Malaysia Traders Fair 2022 dibawakan khas oleh FINEXPO dijadualkan bermula pada 10 September 2022 di InterContinental Kuala Lumpur.FINEXPO ialah syarikat pengendali acara...
spot_img

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here